FIBER BIRU

Sunday, July 8, 2012

Mimpi dan Maksudnya

Salam para pembaca...
Mesti ada yg pernah bermimpi perkara yg sama berulang kali..
Saya mahu menulis sedikit pendapat dari sumber iluvislam.com yg diperoleh..



Mentafsirkan mimpi adalah perkara yang rumit kerana mimpi merupakan termasuk di dalam salah satu perkara yang ghaib dan selain Allah, hanya diri sendiri sahajalah yang mampu mentafsirkan mimpi tersebut. Pihak ketiga hanya memberikan pandangan, namun diri sendiri jualah yang mampu merasainya...

Mimpi jugak merupakan satu imbasan / memori / alamat / petanda / hiburan yang telah diciptakan Allah TERUS kepada hambaNya ketika hambanya sedang 'mati' di dalam hidup...

Berbalik kepada mimpi, secara peribadi, saya menyatakan bahawa perbuatan mentafsirkan mimpi adalah seumpama;

anda mencari jarum yang tajam di dalam bilik peribadi anda yang gelap. Anda tahu jarum itu berada di dalam bilik anda tetapi anda tidak dapat melihatnya melainkan apabila anda sudah menyentuh dan terasa sakit, barulah anda tahu bahawa jarum itu berada di suatu tempat di dalam bilik anda.

Begitu jualah pentafsiran mimpi..

Dan jangan sekali-kali dipengaruhi oleh mimpi kerana kita kena bijak mengenal-pasti sama ada mimpi itu hiburan, gangguan syaitan ataupun petanda...

Sebenarnya mimpi bukanlah suatu perkara yang jelas. Ia boleh jadi hanya mainan syaitan seperti kebanyakan mimpi, dan tidak mustahil juga ianya satu petunjuk yang Allah nak bagi. Dari segi sains sekalipun, mimpi tidak dapat dijelaskan sepenuhnya.

Syukur alhamdulillah, Allah tahu akan perkara ini kerana Dia jualah yang menciptakan mimpi, justeru itu Allah turunkan panduan mengenai mimpi kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w untuk disampaikan kepada kita sebagai sebahagian dari syariat Islam.

Panduan yang saya maksudkan tersebut tercatat dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w, dikhabarkan dari Abu Qatadah bahwasanya Rasulullah s.a.w pernah bersabda,

"Mimpi yang buruk adalah dari syaitan, siapa yang bermimpi buruk hendaklah ia meludah ke sebelah kirinya dan minta perlindungan (dengan membaca A’uzubillahi minassyaitannirrajim) Allah dari syaitan serta jangan diceritakan kepada orang lain; dan siapa yang bermimpi baik hendaklah ia bergembira dan jangan diceritakan kecuali kepada orang yang dipercayainya.”

Jika dilihat dari teks hadis ini, teks hadis ini merupakan satu perintah Allah yang mutlak, yakni bukan untuk kita tafsir-tafsirkannya. Ia ditunjukkan dengan suruhan untuk meludah di sebelah kiri jika bermimpi buruk. Kita mungkin tertanya-tanya, apa kaitannya meludah ke kiri dengan mimpi buruk? Sungguh ianya tidak logik pada pandangan akal kita. Namun kita disyariatkan untuk berbuat sedemikian, tanpa mempersoalkannya.



Begitulah juga dalam hadis berkenaan, apabila Allah menyuruh kita agar jangan menceritakan mimpi buruk kepada orang lain. Kadang-kadang kita rasa naaaaaak sangat cerita, sama ada kepada rakan karib mahupun di tempat awam seperti di laman ILuvIslam ini. Tetapi Allah melarang kita menceritakannya. Kenapa? Kita tertanya-tanya kenapa. Tetapi sepertimana suruhan meludah tadi, seperti itu jualah kita dituntut untuk taat tanpa perlu mempersoalkannya.

Begitu juga dengan mimpi yang baik. Kita disyariatkan untuk mendiamkan mimpi itu, dan jika diceritakan pun hendaklah diceritakan kepada orang yang kita benar-benar mempercayainya. Contohnya seperti ibubapa kita, atau imam di masjid, atau ulama' dan tokoh agama, ataupun rakan kita yang thiqah dan wara'. Tentu ada sebab kita disyariatkan sedemikian. Ia sangat susah dilakukan, kerana tentulah apabila mendapat mimpi yang baik kita berasa seronok dan teruja untuk berkongsi dengan orang lain. Hakikatnya bukan itu yang disyariatkan oleh Rasulullah.

Saya beranggapan adalah satu langkah yang tidak wajar untuk menjadikan "mimpi" sebagai penentu tindak tanduk kita. Mimpi, seharusnya dianggap dan dikenalpasti sebagai mimpi sahaja, tidak lebih dari itu. Ianya bukan wahyu yang setanding dengan AlQuran, dan ianya juga bukan nasihat yang berasas kukuh.

Sebaliknya, dapatkanlah nasihat dari rakan-rakan, ibubapa, guru-guru anda. Mereka ini manusia yang turut mempunyai hati, akal dan perasaan seperti anda, nasihat daripada mereka jauh lebih bernilai dan berharga daripada secebis mimpi yang kita sendiri tidak tahu asal usulnya, apatah lagi menafsirkannya.

Akhir kata pesanan dari saya,
Mimpi – lebih banyak yang tersimpul dari apa yang telah terhurai. Baik dari jalan sains mahupun falsafah. Semakin dihurai, semakin kusut. Jadikanlah mimpi sebagai satu motivasi kepada diri kita – satu daya untuk kita terus melangkah, satu harapan untuk masa depan. Hiduplah dalam realiti, kerana hanya dalam realiti kita boleh menggapai apa yang diimpikan..

sumber : iluvislam.com

No comments: